Muzik, seni bina keyakinan murid sejak usia muda

DALAM usaha untuk mempergiatkan perkembangan bakat dalam bidang muzik dan seni di peringkat usia muda, Proton Holdings Berhad (Proton) baru-baru ini telah menyampaikan sumbangan peralatan muzik kepada tiga buah sekolah terpilih di bawah kempen ‘Persona – Lebih Baik, Tidak Syak lagi’.

Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Proton Edar, Sidik Abdul Hamid berkata, pihaknya percaya bahawa muzik dan seni adalah penting untuk membangunkan keyakinan diri pelajar kerana ia merupakan asas kepada kesejahteraan kanak-kanak serta kunci ejayaan apabila mereka dewasa kelak.

“Inilah sebabnya mengapa pihak kami mahu memainkan peranan dalam membantu sekolah-sekolah ini mewujudkan segmen muzik dan seni sebagai salah satu aktiviti kokurikulum mereka,” katanya pada majlis itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, SJK (T) Vivekananda menerima sebanyak 67 buah peralatan muzik seperti keyboard, deram bass, snare, trompet, tamborin dan melodian untuk digunakan dalam usaha sekolah menubuhkan sebuah pancaragam genderang.

Peralatan muzik tersebut disampaikan oleh Sidik serta penyampai radio THR Raaga, DJ Aanantha kepada Guru Besar SJKT Vivekananda, Bala Mohan.

Sementara itu, Bala berkata, sekolahnya telah lama berhasrat untuk menubuhkan sebuah band dan sumbangan peralatan muzik yang diterima daripada Proton merupakan sesuatu yang sangat bermakna dan amat dialu-alukan.

“Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kemahiran seperti kerjasama berpasukan, kepimpinan dan kebolehan untuk bercakap di khalayak ramai tidak akan dapat dipelajari hanya melalui buku teks tetapi melalui pelbagai aktiviti lain seperti sukan, muzik dan seni,” jelasnya.

Selain itu, dua sekolah yang turut menerima sumbangan alat muzik ialah SJKT Nilai di Negeri Sembilan dan SJKT Melaka Kubu, Melaka.

Setiap sekolah menerima 10 unit urumee, 10 tabla, satu set uremee melam, empat buah gitar dan 40 seruling.

Peralatan muzik berkenaan dibeli menggunakan dana yang dikumpul daripada hasil jualan video muzik DJ Aanantha bertajuk ‘Thannambikkai’ yang bermaksud keyakinan.

Sebanyak kira-kira RM30,000 telah dikutip daripada hasil jualan video muzik itu bermula minggu pertama Oktober lalu.

Lagu yang ditulis oleh DJ Aanantha dan video muzik yang menampilkan tiga kanak-kanak istimewa itu dibuat di bawah kempen ‘Persona – Lebih Baik, Tidak Syak Lagi’ dalam usaha untuk meniup keyakinan dalam diri kanak-kanak melalui irama rancak dan lirik yang ceria.

 

*Sumber BPK